November 12, 2009

muhasabah diri


sebelum manjadi lebih dewasa..


tinggal beberapa jam lagi akan genaplah 20 tahun aku bernafas di muka bumi Allah ini. genap 20 tahun juga aku menjadi pelakon dalam sandiwara kehidupan di pentas dunia yang bersifat fana.


aku sama seperti kebanyakan insan lain yang begitu asyik dan leka dengan masa depan. ada ketikanya aku lelah memikirkan masa depan yang belum pasti. untuk seketika ini, aku mahu menoleh ke belakang; mengamati tiap langkah dan gerak-geri percaturanku selama ini.


detik ini hujan masih lagi membasahi bumi kuala lumpur. biar pun sekadar rintikan, namun ia menyedarkan aku betapa aku ini manusia yang jarang bersyukur dengan segala limpah kurnia dan rahmat ilahi. dulu aku cukup suka bila waktu hujan; tapi sejak akhir ini aku asyik merungut bila hujan turun. aku rasa segala urusanku tergendala dek kerana hujan. hujan bukan lagi mainanku. aku lupa pada hujan. aku lupa yang setiap titisan hujan yang jatuh menimpa bumi itu sebenarnya membawa rahmat Allah.


aku sentiasa mengingatkan diri agar menjadi hamba-Nya yang sentiasa bersyukur dan tak lekang dengan kalimah hamdalah di bibir, mensyukuri segala apa yang aku miliki dan lalui hari ini. tetapi mengapa aku masih lalai?


aku tidak mahu kufur nikmat.


aku mahu bermuhasabah. aku mahu menjadi yang lebih baik dari sebelumnya. sesungguhnya aku memanjatkan kesyukuran yang tidak terhingga atas kebesaran Allah yang tiada bersempadan. bersyukur kerana dilahirkan sebagai Islam. bersyukur atas segala nikmat dan kesempatan yang diberikan oleh-Nya. bersyukur atas segala pilihan dan laluan yang diberikan. bersyukur atas segala rezeki yang dianugerahkan. bersyukur kerana dikurniakan keluarga dan teman-teman yang setia. bersyukur atas setiap rintik dan titisan hujan serta bahang terik mentari yang menyentuhku. bersyukur atas setiap rasa yang ku alami. bersyukur pada setiap kepayahan hidup yang menjadikan aku lebih kuat walaupun tanpa aku menyedarinya. bersyukur untuk setiap malam dan siang yang aku tempuhi. bersyukur pada-Nya di setiap degupan jantungku. bersyukur kerana masih mendengar laungan azan yang takkan pernah jemu menyeru ke jalan Allah. bersyukur untuk 20 tahun yang begitu indah. bersyukur kerana aku masih di sini. masih bernafas. masih mampu tersenyum dan menangis.


sesungguhnya aku takkan pernah lelah dan takkan pernah bisa berhenti untuk mencari diri. aku mahu jadi lebih baik dari sebelumnya. aku mahu jiwaku tenang. aku mahu hatiku lapang. dan jawapannya hanya pada Allah. aku mahu jadi hamba-Nya yang sentiasa mencintai-Nya dan rasul-Nya.


aku mahu BERUBAH. aku mahu BERHIJRAH.


No comments:

Post a Comment